Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan tiada lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan di negara ini pada masa akan datang dalam berhadapan pandemik Covid-19.
Beliau memberi jaminan bahawa tidak akan ada lagi sekatan jalan raya kepada seluruh umat islam menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti.
“Kita sudah tidak akan melaksanakan PKP seluruh negara, negeri mahupun daerah melainkan kawasan-kawasan tertentu sahaja yang akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).
“Tiada lagi sekatan ekonomi akan dilaksanakan dan sektor-sektor ekonomi akan berjalan seperti biasa kecuali kawasan yang dikenakan PKPD,” katanya melalui sidang akbar selepas majlis perjumpaan bersama pegawai-pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Daerah Bera di Pejabat Kemas daerah Bera di sii hari ini.
Beliau juga menjelaskan soal spekulasi mengenai penutupan ekonomi menyebabkan rakyat tidak dapat pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini kerana penularan wabak Covid-19. Menurutnya, spekulasi tersebut sama sekali tidak benar dan tidak perlu bimbang kerana tidak akan ada lagi sekatan jalan raya berkaitan Covid-19 dilaksanakan.
Meskipun begitu, beliau turut mengulas berkaitan peningkatan jumlah kes Covid-19 yang merokodkan sebanyak 4,115 kes semalam dan hal tersebut sangat membimbangkan.
“Kita tidak boleh rasa selesa dengan angka kes sekarang, kita tidak mahu negara kita mencapai angka seperti negara Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis. Perlu turun dari segi angka supaya kita dapat isytiharkan endemik apabila jumlah jangkitan di bawah 1,000,”ujarnya.
Sumber: Kosmo