Kurang satu jam dari sekarang akan berlangsungnya aksi suku akhir acara Keirin untuk berbasikan trek yang melibatkan atlet Malaysia di hari terakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020 hari ini. Semalam telah berlangsung pusingan saringan yang penuh aksi dan kontroversi.
Datuk Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Shahrom berjaya melayakkan diri ke pusingan suku akhir dengan cabaran masing-masing. The Pocket Rocketman mudah memenangi perlumbaan saringan manakala Shah Firdaus terlibat dalam kemalangan sebelum bangkit semula di pusingan Repechage untuk layak ke suku akhir.
Apa yang akan berlaku hari ini? Tiada lagi pusingan Repechage hari ini. Untuk pusingan suku akhir hanya 4 pelumba terpantas akan layak ke separuh akhir dalam 3 perlumbaan suku akhir. Ini bermakna hanya 12 pelumba terbaik akan mara ke separuh akhir dan yang lain akan tersingkir.
Di separuh akhir pula, akan ada dua perlumbaan dan setiap perlumbaan hanya 3 pelumba yang akan mara ke pusingan akhir. Ini bermakna hanya 6 pelumba terbaik akan layak ke final bagi menentukan pemenang pingat emas, perak dan gangsa.
Ini adalah harapan terakhir Malaysia untuk merealisasikan impian emas pertama di Olimpik Tokyo menerusi Azizulhasni atau Shah Firdaus. Ayuh, sama-sama mendoakan kejayaan mereka di Tokyo dan membawa pulang emas pertama untuk negara.