KUALA LUMPUR, 1 Okt – Kaedah pembayaran caj petak tempat letak kereta bahu jalan yang menggunakan mesin di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) telah berakhir 30 Sept semalam.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan berkata, sebaliknya kaedah baharu pembayaran caj tersebut diperkenalkan dengan hanya menggunakan aplikasi mudah alih dan e-wallet akan berkuat kuasa mulai 1 Okt hari ini.
Aplikasi yang akan digunakan pengguna untuk bayaran caj tersebut adalah EZ Smart Park, Flexiparking, Wilayah Parking atau M-Cash. Bagaimanapun kenyataan tersebut tidak menyebut tentang aplikasi JomParking yang telah lama beroperasi di kawasan terbabit.
“Perancangan dan integrasi dengan Boost dan Touch n Go e-wallet juga sedang dilaksanakan oleh DBKL bagi memberikan pilihan yang lebih luas kepada pengguna untuk kaedah pembayaran ini.
“Dimaklumkan juga bahawa pas harian dan pas bulanan untuk parkir pada ketika ini masih belum beroperasi,” kata kenyataan tersebut semalam.
Sehubungan itu, kemudahan tersebut akan diaktifkan setelah naik taraf sistem dilaksanakan.
Bagaimanapun, permohonan untuk petak khas masih beroperasi seperti biasa dan kadar caj Tempat Letak Kereta (TLK) masih kekal seperti sedia ada.
“DBKL menggalakkan orang ramai supaya menyesuaikan diri untuk menggunakan kaedah baharu ini membuat bayaran tempat letak kereta bahu jalan di sekitar WPKL,” tambah kenyataan itu lagi.


Sumber: DBKL