
Tiada Lagi Habuk Bersepah, 6 Cara Mudah & Selamat Cuci Kipas
Kipas siling merupakan antara peralatan rumah yang paling jarang dibersihkan walaupun ia digunakan hampir setiap hari. Kedudukannya yang tinggi menyebabkan ramai terlupa bahawa bilah kipas amat mudah menarik dan mengumpul habuk dari udara sekeliling.
Habuk-habuk ini terdiri daripada zarah halus seperti sel kulit mati, debunga dan kotoran halus yang berterbangan di dalam rumah.
Jika dibiarkan terlalu lama tanpa dicuci, habuk yang terkumpul akan menyebabkan kipas menjadi berat dan kurang seimbang. Keadaan ini boleh menyebabkan putaran bilah menjadi perlahan, menghasilkan bunyi bising atau membuatkan kipas bergegar.
Biarpun kerja membersihkan kipas siling nampak mudah, namun ramai yang tidak gemar melakukannya berikutan proses yang renyah selepas mencuci kipas. Habuk yang bersepah di lantai, dan katil membuatkan pembersihan kipas siling jarang dilakukan.
Kali ini, SK kongsikan dengan anda enam cara mudah dan selamat untuk mencuci kipas. Tiada lagi habuk berterbangan ke serata tempat.
Letak kain buruk atau cadar lama di lantai bawah kipas siling. Tutup ruang dua kali ganda lebar kipas untuk elak habuk terbang lebih jauh.
Bagi anda yang mempunyai kipas yang berlampu, langkah terbaik adalah dengan membuka penutup lampu supaya tidak menghalang proses mencuci bilah kipas.
Pakai pelitup muka dan cermin mata keselamatan, jika perlu. Bagi memastikan keselamatan anda terjamin, gunakan tangga atau bangku yang kukuh.
Jangan terkejut, berbanding menggunakan kain buruk, sarung bantal merupakan alat paling mudah untuk membersihkan habuk pada bilah kipas.
Masukkan bilah ke dalam sarung bantal dan tarik perlahan-lahan sambil menyapu habuk. Ulang langkah yang sama untuk setiap bilah kipas.
Setelah selesai, habuk boleh dibuang ke dalam tong sampah dan sarung bantal pula boleh dicuci seperti biasa.
Jika anda tidak selesa menggunakan tangga, anda boleh juga menggunakan penyapu habuk yang bertangkai panjang. Penyapu habuk kipas kini sudah banyak dijual dalam talian dengan tangkai yang boleh laras. Penggunaan penyapu habuk ini sesuai untuk warga emas atau mereka yang mempunyai masalah untuk bergerak.
Bagi menghilangkan habuk yang degil, sembur pencuci serba guna pada kain terlebih dahulu, kemudian lap setiap bilah kipas.
Anda boleh juga menggunakan campuran semula jadi seperti cuka putih dan air menggunakan nisbah 1:1. Lapkan bilah dan bahagian asas kipas dengan campuran ini.
Setelah selesai mencuci bahagian bilah kipas, tidak bermakna tugas anda sudah selesai. Tanggalkan dan basuh penutup lampu dengan air sabun suam, jika ada. Pastikan penutup lampu kering sepenuhnya sebelum dipasang semula.
Mentol juga perlu dibersihkan tetapi memadai dengan mengelap mentol menggunakan kain kering.
Jika mampu, bersihkan juga bahagian dalam motor untuk membuang habuk dengan menggunakan semburan angin bertekanan atau mesin pembersih hampagas.
Campurkan satu cawan air, suku cawan cuka putih, dua sudu minyak zaitun dan sedikit sabun pencuci pinggan. Goncang sebelum sembur campuran ini pada kipas.
Campuran ini dapat mengurangkan habuk yang melekat dan kipas tidak perlu dicuci terlalu kerap.
Selamat mencuba.
Sumber: Mental Floss
BACA: 7 Tabiat Kecil Yang Buat Rumah Nampak Sentiasa Kemas
BACA: Hantar “Treadmill”, Abang Kurier Sempat Titip Semangat Turunkan Berat Badan