Kuala Terengganu: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu hari ini menafikan terdapat kes jangkitan COVID-19 di Hospital Jerteh dekat Besut seperti yang tular di laman sosial Facebook.
Pengarah Kesihatan negeri Dr Nor Azimi Yunus berkata setakat hari ini, tiada kes disahkan COVID-19 yang dirawat di mana-mana hospital di Terengganu.
“Kami minta semua lapisan masyarakat supaya sentiasa berhati-hati dan tidak menularkan sebarang berita tidak sahih dan tidak benar yang boleh menimbulkan kegusaran kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perkara itu mula tular hari ini berikutan satu hantaran di Facebook Anak2 Jerteh, Besut (AAJB) menerusi status kononnya ‘Pesakit Coronavirus/COVID-19 ada di Hospital Jerteh dalam Wad 7 dan mangsa baru balik dari Jepun.
Nor Azimi berkata secara umumnya, bagi mengurangkan risiko jangkitan saluran pernafasan, orang ramai dinasihat untuk sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dan mengamalkan etika batuk yang betul.
“Selain itu, orang ramai perlu mengamalkan jarak sosial dan mengelakkan daripada mengunjungi tempat tumpuan ramai dan bergaul rapat dengan mana-mana individu bergejala,” katanya.
Sumber: Bernama