Sejak beberapa bulan yang lalu, kebanyakan negeri di Malaysia diramal mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang terutamanya pada waktu petang dan malam ekoran keadaan Monsun Timur Laut.
Pun begitu, nampaknya berbeza pula di Alor Setar, Kedah apabila Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan bahawa daerah di negeri itu tidak merekodkan taburan hujan sepanjang bulan Januari 2022.
Keadaan itu sememangnya berkait dengan Monsun Timur Laut yang dijangka akan tamat pada bulan Mac atau April nanti.
Terdahulu, Astro Awani pada 21 Januari melaporkan bahawa negeri Kedah mengalami cuaca panas sehingga 35 darjah Celcius.
Pengarah Pejabat Meteorologi Kedah, Muhammad Khalil Abd Aziz berkata secara amnya negeri di bahagian utara Semenanjung akan mengalami kering sedikit akibat fasa kedua Monsun Timur Laut.
“Cuaca panas ini dijangka kembali normal pada hujung Mac atau awal April nanti,” katanya ketika ditemubual Astro Awani pada ketika itu.
Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia