Dwayne Johnson atau dikenali sebagai The Rock bersama isteri dan dua anaknya telah diuji positif Covid-19. Berita tersebut telah disahkan sendiri oleh pelakon popular itu menerusi Instagram miliknya sebentar tadi.
“Saya, isteri dan dua anak telah diuji positif Covid-19. Ini merupakan salah satu perkara yang paling mencabar dan sukar untuk dihadapi oleh kami sebagai sebuah keluarga,” katanya.
Dia juga mengatakan bahawa dia dan isterinya, Lauren Hashian menghadapi waktu-waktu yang sukar berbanding kedua-dua anak perempuan mereka namun mereka semua sekarang berada dalam keadaan yang baik.
Walau bagaimanapun, beliau juga berkata bahawa mereka sudah pulih sepenuhnya dan tidak lagi menularkan jangkitan virus tersebut.
“Kami bersyukur. Tidak semua kes Covid-19 akan diakhiri dengan tubuh badan yang kembali sihat dan kuat. Sesetengah rakan saya telah kehilangan orang tersayang kerana virus ini,” ujarnya menerusi video yang dimuatnaik di dalam Instagram.
Dwayne Johnson memulakan karier beliau sebagai ahli gusti dan mula terkenal ketika menyertai World Wrestling Entertainment. Kemudian, dia mula menceburi bidang lakonan sehingga menjadi pelakon yang menerima bayaran tertinggi di Hollywood.
Antara filem yang pernah dibintangi Dwayne ialah The Scorpion King, Fast and Furious, Hobb and Shaw dan Jumanji: The Next Level
Sumber: Therock, Nbc Chicago