Kredit: Bernama

Thailand Turunkan Kadar Tarif Elektrik

Azizah Najib

Thailand Turunkan Kadar Tarif Elektrik

Kerajaan Thailand mengumumkan pengurangan tarif elektrik daripada 4.18 Baht setiap kilowatt-jam (kWh) kepada 4.15 Baht (RM0.54) kWh. Pengurangan ini berkuat kuasa bermula Januari hingga April 2025, lapor Bangkok Post.

Menurut Menteri Tenaga, Pirapan Salirathavibhaga, beliau menerima makluman tersebut selepas sesi perbincangan bersama Suruhanjaya Kawal Selia Tenaga (ERC) dan agensi negeri.

Pada Disember tahun lalu, ERC telah mengeluarkan kaji selidik yang melibatkan premis perniagaan dan isi rumah bagi mengetahui penerimaan mereka terhadap kadar tarif. Menerusi kaji selidik tersebut, pengguna diminta memilih pengekalan tarif 4.18 Baht seunit atau meningkatkan kadar tarif bagi empat bulan pertama 2025.

Dalam mempertimbangkan cadangan mengurangkan beban kewangan rakyat, ERC bersetuju meletakkan had kadar kepada 4.15 Baht.

Namun sama ada harga elektrik akan naik atau turun selepas April masih belum dapat dipastikan.

Menurut ERC, faktor utama dalam penetapan harga elektrik adalah termasuk harga gas. Mereka juga perlu mempertimbangkan pembayaran semula kepada Pihak Berkuasa Penjana Elektrik Thailand (Egat) serta konglomerat minyak dan gas negara, PTT Plc.

Egat yang mencatatkan kerugian besar menerusi skim subsidi harga elektrik sebelum ini, kini memerlukan dana untuk memastikan status kewangan pulih.

Dalam pada itu, sebahagian lagi daripada bil elektrik turut diberi kepada Egat dan PTT sebagai bayaran jualan gas asli mereka pada harga bawah pasaran. Ia bagi membantu mengehadkan kos tenaga.

Untuk pengetahuan, 60 peratus daripada bahan api yang digunakan bagi menjana tenaga di Thailand menggunakan gas daripada sumber tempatan dan gas asli cecair (LNG) yang diimport.

LNG terpaksa diimport berikutan bekalan gas asli tempatan yang terhad. Namun, negara tersebut berkemungkinan perlu membayar LNG dengan harga yang tinggi disebabkan perubahan harga gas global. Perkara ini seterusnya membawa kepada peningkatan kos penghasilan elektrik.

Begitu juga jika berlaku penurunan harga pasaran dalam tempoh tertentu, ia tidak menjamin tarif tenaga itu akan menurun disebabkan ERC masih perlu membayar semula kepada Egat dan PTT.

BACA: PM Thailand Paetongtarn Isytihar Aset Bernilai 13.9 Bilion Baht

Sumber: Bangkok Post