
Kerajaan Thailand pada Isnin membatalkan dasar yang diumumkan pada hujung minggu sebelum ini yang mewajibkan pelancong menunjukkan bukti vaksinasi Covid-19, lapor Bangkok Post.
Menteri Kesihatan Anutin Charnvirakul berkata keperluan pelancong untuk menunjukkan bukti dua dos vaksin adalah ‘menyusahkan’ dan panel pakar telah memutuskan bahawa ia tidak perlu kerana vaksinasi yang mencukupi telah diberikan secara global.
Katanya, pelancong yang tidak diberi vaksin juga akan dibenarkan masuk ke Thailand tanpa sekatan.
Dalam pada itu Anutin berkata kerajaan Thailand kini menjangkakan bahawa jumlah pelancong dari China adalah sekitar 3.5 ke 10 juta orang, berbanding anggaran awal iaitu lima juta sahaja.
“Ini adalah petanda baik untuk sektor pelancongan Thailand. Ekonomi negara akan pulih dengan cepat, selepas kita dilanda Covid sejak tiga tahun lepas,” katanya.
Menurut rekod Jabatan Pelancongan Thailand, jumlah kedatangan pelancong pada tahun lepas adalah melebihi 11.5 juta, iaitu hanya sekitar satu perempat daripada rekod sebelum pandemik iaitu 40 juta orang.
Daripada angka tersebut, jumlah aliran tunai yang dibelanjakan oleh jutaan pelancong berkenaan (bagi tempoh berkenaan) adalah sekitar kira-kira RM25 trilion (1.91 trilion baht).
Sementara itu, penerbangan pertama pelancong China sejak wabak tersebut bermula tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada Isnin, membawa kumpulan awal yang dijangkakan seramai 3,465 penumpang bagi hari pertama.
Semalam Persatuan Pelancong Phuket membidas keperluan vaksinasi yang diumumkan secara tiba-tiba dan menyatakan pengendali pelancongan asing berang kerana terpaksa mengeluarkan bayaran balik kepada pelanggan.
Difahamkan, kebanyakan mereka sudah dalam perjalanan ke lapangan terbang apabila peraturan baharu itu diumumkan tanpa amaran.
Tambahnya, perubahan peraturan yang mendadak menjejaskan pemulihan pelancongan negara serta imejnya.
Imbas kembali, sebelum ini pihak berkuasa penerbangan Thailand pada Sabtu mengumumkan mengenai keperluan untuk menunjukkan bukti vaksinasi Covid-19 yang akan berkuat kuasa pada Isnin.
Perkara tersebut dilaksanakan susulan dengan kedatangan pelancong yang dijangka dari China, di mana kes Covid-19 di negara itu telah meningkat.
Sumber: Bangkok Post