Pejabat Keselamatan Kesihatan Kebangsaan (NHSO) Thailand dilapor bakal menyediakan kondom dan memberikan pil perancang kepada golongan remaja berumur 15 tahun ke atas, lapor The Phucket News.
Timbalan Setiausaha Agung Dr Jakkrit Ngowsiri berkata pemberian itu bertujuan untuk mencegah penyakit kelamin dan kehamilan yang tidak diingini, terutamanya dalam kalangan remaja.
Katanya, ia juga bertujuan untuk menggalakkan seks yang selamat dalam kalangan remaja di Thailand.
Difahamkan, pemberian pil perancang secara percuma itu dilapor akan diedarkan bermula 1 Februari manakala kondom pula dijangka pada April ini, menurut Dr Jakkrit.
Tambahnya, rakyat Thailand berusia 15 tahun ke atas boleh mendapatkannya dari semua hospital dan klinik termasuk farmasi yang dikendalikan oleh pihak swasta yang bergabung dengan NHSO.
Beliau berkata NHSO membenarkan wanita Thailand menerima sehingga tiga kotak pil perancang untuk satu tempoh atau sehingga 13 kotak setahun.
Bagi menerima pil dan kondom tersebut, remaja berkenaan hendaklah memuat naik aplikasi ‘Pao Tang’ dan klik pada bahagian kesihatan untuk memilih tempat dan tarikh yang sesuai untuk mengambilnya.
Untuk remaja lelaki pula, NHSO akan menyediakan 10 kondom percuma setiap minggu.
Golongan remaja lelaki yang ingin mendapatkan kondom, perlu menambah akaun Talian NHSO dan mengimbas kod QR di pusat perkhidmatan yang boleh disemak melalui laman web NHSO.
Thailand perkenal bayaran pelancong
Sebelum ini, Kerajaan Thailand dilapor merancang untuk memperkenalkan bayaran pelancongan berjumlah RM40 yang akan dikenakan kepada pelancong asing yang tiba di negara itu mulai Jun.
Menteri Pelancongan dan Sukan Phiphat Ratchakitprakam berkata cadangan bayaran pelancong itu mula dipertimbangkan pada tahun lalu dan tertakluk kepada kelulusan Kabinet selepas ditangguhkan ekoran penyebaran varian Covid di seluruh negara.
Menurutnya, pelancongan merupakan sektor yang penting dalam ekonomi Thailand sebagai negara kedua terbesar kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Asia Tenggara.
Difahamkan juga, ia turut menyumbang kira-kira 12 peratus secara kasar dalam negara sebelum wabak Covid berlaku.
Yuran itu akan menyediakan perlindungan insurans dengan nilai RM65,000 untuk setiap orang selama sebulan semasa mereka berada di Thailand.
Sumber: The Phuket News
BACA: Padah Telan Pisang Dibaluti Kondom, Lelaki Terpaksa Tanggung Sakit Usus Tersumbat