KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan zakat berjumlah RM7.08 juta bagi tahun kewangan berakhir 2019 kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).
Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan menerima pembayaran zakat itu daripada Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff di Istana Darul Aman, Bukit Persekutuan di sini.
“Bayaran zakat bagi negeri Kedah tahun ini mencatatkan peningkatan berbanding 2018 berjumlah RM6,843,903.51,” menurut Nik Mohd Hasyudeen dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya berharap pembayaran zakat itu dapat dimanfaatkan oleh LNZK ke arah kemampanan program-program zakat yang dirangka di Kedah bagi kelestarian ekonomi golongan asnaf.
Jumlah keseluruhan pembayaran zakat TH pada 2019 di seluruh negeri mencatatkan peningkatan kepada RM86.1 juta berbanding RM85.5 juta pada tahun sebelumnya.
Selain itu, katanya TH akan memperkasakan lagi pelaksanaan program pengagihan zakat kepada golongan yang memerlukan menerusi penganjuran program berbentuk pendidikan, kebajikan dan kemasyarakatan yang diharapkan dapat memberi impak positif berganda kepada golongan asnaf.
— BERNAMA