pawagam asing lelaki perempuan
Kredit: Google

TGV Mesra Mall Terengganu Kini Asingkan Tempat Duduk Lelaki & Wanita Muslim Yang Bukan Mahram

Amira

Cawangan pawagam TGV Mesra Mall Terengganu kini melaksanakan pengasingan tempat duduk antara lelaki, perempuan dan keluarga sejak 3 September, semalam.

Menurut kemaskini TGV Cinema, pengasingan tersebut dilaksanakan berdasarkan garis panduan ditetapkan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).

Dalam garis panduan itu, individu lelaki dan perempuan beragama Islam yang bukan suami isteri ataupun adik beradik tidak dibenarkan duduk bersebelahan. Bagi pasangan suami isteri, mereka perlu mengemukakan kad nikah atau dokumen berkaitan kepada staf pawagam yang menjalankan pemeriksaan.

Selain itu, penonton beragama Islam juga perlu menutup aurat manakala mereka yang bukan Islam disaran memakai pakaian yang sopan untuk memasuki pawagam.

Para penonton juga dilarang sama sekali membawa minuman yang memabukkan ke dalam pawagam.

Setakat ini, garis panduan terbaru tersebut hanya terpakai di TGV Mesra Mall, Terengganu sahaja.

Para pengunjung boleh merujuk pelan tempat duduk mengikut warna yang dipamerkan semasa proses pembelian tiket di laman web, aplikasi atau kios TGV.

Warna biru khas untuk penonton lelaki, merah jambu untuk perempuan manakala warna kuning bagi keluarga, suami isteri atau mahram.

Untuk maklumat lanjut mengenai prosedur tersebut, para pengunjung boleh merujuk pada soalan lazim di laman TGV.

Sumber: TGV Cinemas