Tesla Catat Penurunan Keuntungan 61 Peratus Suku Keempat
Tesla melaporkan penurunan keuntungan suku keempat sebanyak 61 peratus pada Rabu, berikutan jualan kenderaan yang lebih rendah dan peningkatan perbelanjaan ketika Ketua Pegawai Eksekutif, Elon Musk mempercepat pelaburan dalam teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menurut AFP, syarikat kenderaan elektrik itu, yang kini beralih fokus daripada pengeluaran kereta kepada pembangunan AI memaklumkan bahawa pada 16 Januari lalu, ia telah mencapai persetujuan untuk melabur AS$2 bilion dalam projek xAI milik Elon Musk.
Difahamkan, keuntungan Tesla bagi suku berakhir 31 Disember mencatat AS$840 juta, menurun daripada AS$2.1 bilion setahun sebelumnya.
Manakala pendapatannya ialah AS$24.9 bilion, di mana turun 3.1 peratus.
Penurunan ini dijangka susulan laporan penghantaran kenderaan suku keempat dan keseluruhan tahun 2025 yang menurun.
Kos penyusunan semula, perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan AI, tarif tinggi serta pengurangan pendapatan daripada kredit cukai pelepasan karbon berikutan perubahan dasar alam sekitar AS turut menyumbang kepada prestasi lemah syarikat itu.
Tesla tidak memberikan ramalan spesifik bagi jualan kenderaan 2026, sebaliknya menekankan fokus kepada 'penggunaan kapasiti maksimum' di kilang, dengan jumlah penghantaran bergantung kepada permintaan keseluruhan produk.
AFP melaporkan saham syarikat meningkat 3.1 peratus dalam dagangan selepas waktu pasaran.