Gambar: Mothership

“Terus Beredar, Tak Berhenti Tolong,” Wanita Cedera Terbabas Dipercayai Akibat Penunggang Basikal Tiba-Tiba Masuk Laluannya

Aqmal Ezany

Seorang wanita di Singapura yang berbasikal di Punggol Park Connector sedang mencari saksi kejadian selepas seorang penunggang basikal lain didakwa memasuki laluannya sehingga menyebabkan kemalangan.

Dalam usaha untuk mengelakkan pelanggaran, wanita tersebut telah mengalami gegaran otak, pengsan, serta hilang ingatan sementara, trauma pada bahagian kepala, dan lebam pada wajah serta anggota badannya.

Dalam perkongsian menerusi sebuah group Facebook, wanita itu menulis bahawa dia dan suaminya telah berbasikal di sepanjang Punggol Park Connector pada Jumaat sekitar jam 9 malam ketika kemalangan itu berlaku.

Dia menyatakan bahawa semasa dia sedang melalui sebuah jambatan kecil, mendakwa seorang penunggang basikal lain yang berada di lorong bertentangan telah memasuki laluannya.

Untuk mengelakkan daripada berlanggar, wanita tersebut telah mengelaknya dan terbabas. Akibat daripada itu, dia telah mengalami pelbagai kecederaan yang serius.

Wanita terbabit menambah bahawa selepas melakukan imbasan CT, doktor telah memaklumkan kepadanya bahawa terdapat darah beku di dalam otaknya, namun ianya akan beransur pulih.

Dia turut menambah bahawa penunggang basikal tersebut tidak berhenti untuk menolongnya selepas daripada kemalangan itu.

Bercakap kepada Mothership, wanita tersebut menyatakan bahawa dia dan suaminya amat berterima kasih kepada penunggang basikal lain yang datang menghulurkan bantuan kepadanya dan menasihati suaminya untuk menghubungi ambulans.

Wanita itu turut menasihatkan para penunggang basikal lain supaya sentiasa memakai peralatan keselamatan bagi mengelakkan diri daripada sebarang kecederaan yang serius.

Sumber: Mothership