MALI, AFRIKA- Seorang wanita asal Mali dilapor melahirkan bayi kembar 9 di sebuah hospital di Maghribi, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan Mali.
Menurut laporan Voa News, ibu bersama-sama dengan 9 anaknya dilaporkan berada dalam keadaan sihat ketika ini.
Menteri Mali berkata, Halima Cisse (25 tahun) dari bahagian selatan negara Afrika Barat itu terbang ke Maghribi untuk mendapatkan rawatan yang lebih baik pada 30 Mac. Pada mulanya, dia menyangka bahawa dirinya hanya hamil anak kembar 7 sahaja.
Dalam sejarah perubatan, keadaan dimana seorang wanita berjaya melahirkan bayi kembar 7 adalah jarang-jarang berlaku, apatah lagi melahirkan bayi kembar 9.
Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Kesihatan Maghribi, Rachid Koudhari berkata, pihaknya tidak tahu mengenai kelahiran unik itu di salah sebuah hospital negara itu.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan Mali berkata bahawa Cisse telah melahirkan lima anak perempuan dan empat lelaki secara pembedahan (c-section) dalam satu kenyataan.
“Ibu dan bayinya baik-baik sahaja setakat ini,” kata Menteri Kesihatan Mali, Fanta Siby kepada AFP.
Tambah Siby lagi, keadaan wanita berkenaan sentiasa dipantau oleh sekumpulan doktor yang menemaninya ke Maghribi.
Sumber: VOA News