BEAUFORT, 4 Jan (Bernama) — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyerahkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menentukan pengganti Dr Maszlee Malik.
Dr Wan Azizah berkata beliau sendiri tidak dapat memberi bayangan individu bakal menerajui Kementerian Pendidikan, selepas bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri pendidikan dua hari lepas.
Pada Khamis, Maszlee mengumumkan beliau meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan, berkuat kuasa semalam.
Dr Wan Azizah berkata beliau menghormati keputusan diambil Maszlee, sambil menghargai segala sumbangan diberikan bekas menteri itu selama menerajui Kementerian Pendidikan.
Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata lawatannya ke JKM Membakut bertujuan meninjau operasi serta melihat keperluan yang perlu ditambah baik ke arah mempertingkatkan lagi perkhidmatan jabatan berkenaan di kawasan itu.
Justeru, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata kajian menyeluruh akan dilakukan bagi mengatasi perkara itu bukan sahaja untuk kawasan Membakut tetapi juga di daerah lain di Sabah.
Dalam pada itu, beliau berkata sejumlah RM4.2 juta bantuan disalurkan JKM Membakut kepada golongan memerlukan termasuk warga emas, kanak-kanak, pesakit kronik dan orang kelainan upaya (OKU) sepanjang tahun lepas.
Sumber: BERNAMA