
Terpikat Akhlak Jemaah Masjid, Pengawal Keselamatan Peluk Islam
Dalam dunia ini, perkara yang paling dipandang pada seseorang ialah akhlak dan tingkah laku kerana ia menunjukkan sifat individu terbabit ketika berdepan dengan orang yang tidak dikenali.
Akhlak yang baik sering dipandang tinggi kerana ia membuatkan seseorang mempercayai bahawa kebaikan yang ditunjukkan adalah lebih bernilai daripada semua perkara.
Demikianlah yang terjadi dengan seorang lelaki berkulit hitam yang menjadi pengawal keselamatan di sebuah masjid dalam satu kisah benar yang berlaku di luar negara.
Setelah menjadi pengawal keselamatan di rumah suci itu, lelaki bernama Griffin tersebut ingin memeluk Islam selepas melihat keindahan akhlak yang ditunjukkan oleh para jemaah masjid.
Dalam satu rakaman video, Griffin yang datang berdekatan dengan imam mengesat air matanya sebelum mengambil mikrofon.
“Assalamualaikum,” ujarnya sebelum mengangkat dua kalimah syahadah.
Griffin kemudiannya mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan para jemaah masjid di dalam rumah suci Allah berkenaan.
Seterusnya, imam masjid itu mengajar lelaki Griffin untuk mengucapkan dua kalimah syahadah dalam bahasa Inggeris.
Pada permulaannya, Griffin dilihat tidak mengetahui makna di sebalik dua kalimah syahadah itu, namun apabila dibaca dalam bahasa Inggeris, dia tidak dapat menahan sebak.
Usai pengawal keselamatan itu melafazkan dua kalimah syahadah, jemaah masjid melaungkan takbir Allahuakbar sebanyak tiga kali.
Imam masjid itu menceritakan bahawa sebelum ini, Griffin ada bertanya kepadanya mengenai langkah yang perlu diambil untuk memeluk Islam.
Pertanyaan yang dilontarkan sedikit sebanyak menimbulkan persoalan buat imam tersebut. Dia ingin mengetahui perkara apa yang mendorong Griffin untuk berhijrah kepada agama Islam.

Sebelum memulakan ucapannya, Griffin tidak dapat menahan sebak dan terus menyatakan bahawa dia merupakan seorang yang beremosi.
“Ini adalah malam yang sangat istimewa untuk saya, sangat istimewa bersama saudara-saudara saya.
“Saya hanya ingin mengatakan kepada anda semua, cinta yang saya perolehi adalah tidak ternilai.
“Setiap daripada kamu yang bertemu dengan saya di pintu, ucapkan salam kepada saya, saya benar-benar menganggap anda adalah saudara saya.
“Apabila saya hulurkan tangan untuk bersalaman, itu adalah cinta saya kepada kamu. Saya akan mempertaruhkan nyawa saya kepada anda semua,” jelasnya.
BACA: Lelaki Peluk Islam, Selepas Datang Masjid Mengadu Bunyi Bising Sembahyang Raya
Ucapan ikhlas Griffin itu didengari oleh setiap jemaah yang hadir menyaksikan dia memeluk Islam.
Biarpun tidak banyak yang diluahkan olehnya, namun setiap bibit yang diucapkan penuh dengan keikhlasan dan kasih sayangnya terhadap para jemaah tersebut.
Sementara itu, jemaah yang berada di sebelah imam tersebut berasa kagum dengan ucapan Griffin dan menyatakan akhlak yang ditunjukkan patut dicontohi ramai.
“Dengan akhlak dan tingkah laku yang ada di dalam diri, kita mampu untuk mengubah satu negara.
“Kita juga akan dapat melakukan perubahan besar dan kita mempunyai contoh di sini, iaitu Griffin,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang lelaki menjelaskan bahawa Griffin adalah contoh terbaik di mana seseorang memeluk Islam disebabkan tingkah laku dan akhlak yang ditunjukkan oleh para jemaah masjid.
Jemaah tersebut turut memberikan penghargaan kepada Griffin susulan penghijrahannya kepada agama Islam.

Upacara yang diadakan diakhiri dengan ucapan tahniah daripada jemaah masjid kepada Griffin serta memeluk dan bersalaman dengannya.
Griffin dikerumuni oleh jemaah-jemaah yang berada di situ dan dia juga tidak henti menunjukkan senyuman manis dari riak wajahnya.
Difahamkan, video tersebut telah pun disiarkan di laman Youtube pada 2019 namun ia kembali tular baru-baru ini selepas ramai yang membuat perkongsian di TikTok.
Sumber: Epic Masjid