
Siapa yang gemar menonton filem-filem dari Hollywood, pasti sudah maklum tentang jenayah dadah yang melibatkan dua negara berjiran, iaitu Amerika Syarikat (US) dan Mexico.
Umumnya, melihat daripada sudut geografi, kedua-dua negara ini hanya terletak ‘bersebelahan’ saja, US di kedudukan utara dan Mexico di selatan.
Meskipun kedua-duanya dipisahkan dengan pagar sempadan antara yang ‘terpanas’ di dunia, namun tidak ramai yang tahu, di bawahnya ada terowong rahsia ‘tanpa sempadan’.
Lebih mengejutkan, terowong rahsia tersebut sebenanya merupakan ‘jalan tikus’ bagi urusan jual beli dadah antara ‘tauke’ di US dan Mexico.
Pada Mei lalu, pihak berkuasa menemui terowong rahsia tersebut yang terletak di Tijuana, Mexico menuju ke sebuah gudang di San Diego, Amerika Syarikat.
Menurut BBC News, laluan itu dikatakan berjarak sepanjang 531 meter (1,774 kaki), selain mempunyai landasan kereta api, bekalan elektrik dan sistem pengudaraan.

Pejabat Peguam Daerah Selatan California berkata, terowong itu berkedalaman sedalam 18 meter (61 kaki) dengan diameter satu meter (empat kaki).
Difahamkan, penemuan itu berlaku semasa pihak berkuasa US menjalankan pengawasan di sebuah hartanah yang sebelum ini menjadi ‘rumah’ untuk menyeludup kokain.
Dalam serbuan itu, pihak berkuasa berjaya merampas pelbagai jenis dadah seperti kokain, methamphetamine dan heroin. Enam lelaki turut ditahan atas tuduhan mengedar dadah.

“Rampasan itu berjumlah 799 kilogram kokain, 74 kilogram methaphetamine dan 1.6 kilogram heroin,” dakwa pejabat peguam tersebut.
Sebelum itu, pendakwa raya menyatakan terdapat beberapa kenderaan dilapor keluar masuk dari kawasan Tijuana dan gudang itu.
Suspek yang berumur antara 31 hingga 55 tahun dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan didenda sebanyak RM 4,204,749 ($1 juta) jika didapati bersalah.
Imbas kembali, terowong terakhir ditemui di California adalah pada 2020 lalu. Ia juga merupakan terowong terpanjang setakat ini dengan berukuran 1,313 meter (4,309 kaki) panjang.
Untuk rekod, sejak tahun 1993 lalu, sebanyak kira-kira 90 jenis laluan rahsia telah ditemui di sekitar US.

Sumber: BBC News