ternakan bebas penyakit nipah
Kredit: Bernama

Ternakan Dalam Negara Bebas Dari Penyakit Nipah

syafiq halim

Ternakan Dalam Negara Bebas Dari Penyakit Nipah

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) ingin memaklumkan bahawa, ternakan di dalam negara adalah bebas dari penyakit Nipah.

Berdasarkan kepada hasil survelan tahunan terkini sehingga Ogos 2023 yang dijalankan oleh Jabatan ini ke atas 399 sampel babi komersial mendapati keputusan ujian adalah negatif penyakit berkenaan.

Sebagai makluman, penyakit ini disebabkan oleh jangkitan virus Nipah. Jangkitan boleh tersebar melalui sentuhan langsung dengan haiwan terjangkit, udara yang dicemari dengan titisan pernafasan, rembesan dari hidung dan mulut, atau tisu dari haiwan yang terjangkit.

Penyakit Nipah pertama kali dikesan di Malaysia pada tahun 1998 melibatkan ladang babi di Perak dan merebak ke Negeri Sembilan. Ia menyebabkan kerugian besar kepada penternak babi dan ekonomi negara serta meragut 105 nyawa manusia. Usaha-usaha pembasmian secara besar-besaran melibatkan pelbagai jabatan/agensi

telah dijalankan ketika itu, dan pada awal 2001 Malaysia diisytihar bebas dari penyakit Nipah oleh World Organisation for Animal Health (OIE). Sehingga kini, Malaysia masih mengekalkan status bebas Nipah negara melalui program survelan berkala.

Untuk makluman juga, penyakit ini disenaraikan dalam Penyakit Wajib Lapor yang diwartakan di bawah Akta Binatang 1953 perkara 31 (1) oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Dalam memastikan industri ternakan babi di Malaysia bebas dari sebarang ancaman penyakit, DVS akan terus menjalankan survelan dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga agar penyakit yang bersifat zoonotik (berjangkit kepada manusia) ini dapat dicegah dari masuk ke dalam negara.

Penternak babi adalah dinasihatkan untuk tidak menanam pokok buah-buahan di dalam dan sekitar kawasan ladang yang boleh menarik haiwan terutamanya keluang (famili spesis kelawar) yang berkebolehan untuk menjadi perumah semulajadi virus Nipah.

Orang awam juga dinasihatkan untuk melapor sebarang kejadian penyakit berjangkit dalam ternakan seperti babi, kuda, atau haiwan kesayangan kepada DVS untuk tindakan selanjutnya.