Kerajaan Switzerland memutuskan untuk bakal melupuskan sebanyak 10.3 juta dos vaksin COVID-19 Moderna selepas ia tamat tempoh minggu ini, lapor CNA.
Menurut Keystone-ATS, Kementerian Kesihatan Switzerland pada Sabtu berkata pihaknya tidak mempunyai pilihan selain menamatkan suntikan selepas tempoh hayat dos tamat Rabu lalu.
Difahamkan, tempat penyimpanan vaksin itu berada di dua tempat berlainan dan kuantiti dos juga berbeza.
Kementerian memaklumkan bahawa 2.5 juta daripada dos itu disimpan di pangkalan logistik tentera Switzerland dan 2.8 juta lagi berada di depoh simpanan luar di Belgium.
Dalam pada itu, pihak kementerian turut mengesahkan mengenai laporan awal di laman berita Switzerland Beobatcher yang menganggarkan dos yang bakal dilupuskan bernilai sekitar RM1 bilion.
Dalam pada itu, kementerian juga turut menunjukkan strategi perolehan awalnya dalam perlumbaan untuk membangunkan vaksin melawan pandemik Covid-19 di peringkat global.
Dos daripada pelbagai pengeluar telah dipesan oleh pihaknya untuk mengelakkan daripada bergantung kepada vaksin yang akhirnya mungkin terbukti tidak berkesan serta mengelakkan sebarang masalah penghantaran.
Fakta bahawa vaksin berasaskan teknologi MRNA iaitu Moderna dan Pfizer ternyata berkesan menyebabkan Switzerland mempunyai kuantiti lebihan dos yang besar.
Pada Jun, laman berita Swissinfo menganggarkan bahawa Switzerland mempunyai lebihan kira-kira 38 juta dos pelbagai vaksin Covid-19 yang akan tamat tempoh sebelum akhir tahun ini.
Buat masa ini, kira-kira 3.5 juta dos vaksin Moderna sudah tersedia apabila Switzerland memulakan kempen penggalak seterusnya pada bulan depan.
Sumber: CNA