
Terlalu Berjimat, Lelaki Kumpul Lebih RM700k Dalam Tempoh Enam Tahun
Menabung sikit-sikit, lama-lama nanti jadi bukit. Itulah yang selalu akan diterapkan oleh kebanyakan orang untuk menyimpan duit bagi kegunaan masa hadapan. Selain itu, amalan berjimat-cermat juga wajar dilakukan terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Walaupun perlukan pengorbanan dari segi masa dan juga menahan diri dari membeli apa yang diinginkan, ia pasti akan membuahkan hasil.
Sama seperti yang dilakukan oleh seorang lelaki di China ini yang hanya membelanjakan beberapa yuan (sekitar RM4.30) untuk makanan. Kerana amalan yang terlalu berjimat itu, dia berjaya mengumpul sebanyak 1.3 juta yuan (RM 771,865) dalam tempoh masa enam tahun sahaja.
Lelaki berusia 29 tahun itu dikenali sebagai “Little Grass Drifting North” dan merupakan hos strim langsung di sebuah syarikat internet utama di Beijing. Dia juga menguruskan perniagaan media sendiri.
Bagaimanapun, pendapatan sebenarnya tidak didedahkan, lapor SCMP.
Ujar lelaki itu, perbelanjaan bulanan terbesar yang terpaksa dikeluarkannya adalah untuk sewa rumah iaitu sekitar 2,500 yuan (RM1,484). Makanannya pula semua dimasak sendiri dan ia bernilai hanya beberapa yuan setiap satu dan purata kurang daripada 500 yuan (RM296) sebulan.
Menurutnya, amalan berjimat itu berpunca daripada pengalaman zaman kanak-kanak yang traumatik. Semasa darjah lima, ibunya jatuh sakit dan memaksa keluarga mereka untuk meminjam lebih 100,000 yuan untuk mendapatkan rawatan.
“Kami tidak mampu membayar bil perubatan, Mulai saat itu, saya rasa terdorong untuk menyimpan sebanyak mungkin.
“Dengan cara itu, tanpa mengira apa yang berlaku, saya tidak perlu bergantung kepada orang lain, saya boleh dapatkan dana yang saya perlukan dan berasa lebih selamat,” ujarnya.
Selain itu, dia juga mula bekerja sambilan sehari selepas menamatkan peperiksaan kemasukan kolej kebangsaan China. Sejak itu, dia telah bekerja dengan tekun setiap hari dan jarang berehat.
“Melainkan kerana kematian ahli keluarga, saya jarang mengambil cuti. Anda mungkin sukar untuk percaya tetapi saya tidak berapa gemar untuk beriadah.
“Bukan kedekut, untuk pengetahuan saya pernah melawat tempat-tempat seperti Universal Studios dan juga mengembara ke Sanya, tetapi semuanya atas urusan kerja.
“Selepas pergi ke lokasi-lokasi itu, saya tidak menemui apa-apa yang saya gemari,” katanya.
Susulan itu, dia lebih cenderung melabur untuk kesihatannya sendiri dan kesejahteraan ibu bapanya.
Lelaki itu turut mendedahkan bahawa dia bercita-cita untuk mencapai jumlah simpanannya sebanyak 2 juta yuan (RM1.1 juta). Hasilnya nanti akan digunakan untuk membeli rumah dan kereta supaya ibu bapanya boleh hidup dengan selesa dan dapat pergi melancong.
Sumber; SCMP