TERKINI: (Video) Kereta Kebal Tentera Dari Belarus Dirakam Masuk Ke Ukraine

Sofea

Kereta kebal dan kenderaan berperisai lain dilaporkan telah memasuki Ukraine melalui lintasan sempadan berdekatan Belarus.

Menurut CNN, pergerakan itu dapat dilihat melalui video strim secara langsung yang dirakam di persimpangan Senkivka, Urkaine dan Veselovka, Belarus sekitar jam 6.48 pagi waktu tempatan.

Sementara itu, Jabatan Pertahanan AS sedang menjejaki laporan pencerobohan tentera dari Belarus ke Ukraine, kata seorang pegawai pertahanan AS.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada tentera itu dari Rusia atau Belarus.

Terdahulu, beberapa siri letupan telah berlaku di bandar-bandar utama Ukraine termasuk di Kyiv.

Presiden Majlis Eropah dan Presiden Suruhanjaya Eropah mengeluarkan kenyataan bersama sebagai respon kepada tindakan Rusia itu. Mereka telah mengutuk serangan tersebut dan menegaskan bahawa Rusia telah melanggar undang-undang antarabangsa serta menjejaskan keselamatan dan kestabilan Eropah.

“Kami menyeru Rusia untuk segera menghentikan permusuhan, menarik balik tenteranya dari Ukraine dan menghormati sepenuhnya integriti wilayah, kedaulatan dan kemerdekaan Ukraine. Penggunaan kekerasan dan paksaan seperti itu tidak ada tempat dalam abad ke 21,” kata mereka.

Sumber: CNN