Kredit: Sergei Vedyashkin / Moskva News Agency via The Moscow Times

TERKINI: Ukraine Gesa Rakyat Tinggalkan Russia Segera, Tentera Simpanan Dipanggil Bertugas

Nur Adnin

Kerajaan Ukraine dilapor menggesa rakyatnya untuk meninggalkan Russia dalam kadar segera berikutan ancaman pencerobohan Russia yang boleh menjatuhkan kemampuan Kyiv dalam menyediakan perkhidmatan konsular.

Memetik The Moscow Times, pengumuman tersebut dibuat selepas Presiden Russia, Vladimir Putin mengiktiraf dua wilayah pemisah Ukraine; Donetsk dan Luhansk serta meletakkan tentera pengaman di sana.

“Disebabkan peningkatan pencerobohan Russia terhadap Ukraine yang antara lain, boleh membawa kepada sekatan keupayaan yang ketara untuk memberikan bantuan konsular kepada rakyat Ukraine di Russia,” kata Menteri Luar Ukraine, Kuleba Dmytro.

Dalam masa sama, badan ketenteraan Ukraine juga dilapor sudah memanggil kesemua askar simpanannya yang berusia antara 18 hingga 60 tahun untuk mula berkhidmat selama tempoh satu tahun dari sekarang.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy berkata, beliau sedang pertimbang untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Russia atas pengiktirafannya terhadap dua wilayah pemisah; Republik Rakyat Donetsk dan Luhansk.

Difahamkan, Putin telah menandatangani perjanjian kerjasama ketenteraan dengan pihak pemisah pro Moscow-Ukraine dan menghantar ‘pihak pengaman’ ke kedua-dua wilayah berkenaan.

Dalam masa sama, senator Russia turut memberi ‘lampu hijau’ kepada Putin untuk menghantar tenteranya ke wilayah tersebut.

Merujuk The Moscow Times, untuk rekod, jumlah rakyat Ukraine yang menetap di Russia adalah dipercayai mencapai angka lebih 2.5 juta setakat ini.

Sumber: The Moscow Times