Keadaan krisis yang semakin hangat antara Russia dan Ukraine masih lagi tidak menemukan jalan pengakhiran. Kini, timbul pula isu ruang udara Taiwan yang didakwa telah dicerobohi oleh China.
Menurut Kementerian Pertahanan Nasional Taiwan, beberapa buah pesawat udara dipercayai milik China dilapor telah memasuki ruang udara negara tersebut.
“Sembilan pesawat PLA (Y-8 RECCE dan J-16*8) telah memasuki ruang Zon Pengenalan Pertahanan Udara (ADIZ) di barat daya Taiwan pada 24 Februari 2022 (hari ini),” maklum kementerian tersebut.
Berdasarkan laporan ringkas di Twitter kementerian itu, turut dilampirkan ialah foto kedua-dua pesawat China berkenaan yang sedang melintas di zon ADIZ Taiwan tersebut.
“Sebanyak lapan pesawat pejuang J-16 China dan satu pesawat peninjau Y-8 dikesan di kawasan Kepulauan Pratas yang dikawal Taiwan di hujung Laut China Selatan,” jelas laporan itu.
Kejadian pencerobohan pesawat China ke atas Taiwan ini berlaku pada hari yang sama ‘penjajahan’ besar-besaran Russia ke atas Ukraine hari ini.
Sumber: Kementerian Pertahanan Nasional Taiwan, Today Online, Twitter Ladbible, Times of India