Gambar: BERNAMA

TERKINI: Semua Perhimpunan Sosial Termasuk Kenduri-kendara, Majlis Kahwin & Pertunangan Tidak Dibenarkan- PM

Nur Adnin

Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan media sebentar tadi memaklumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) di seluruh negara bermula 12 Mei hingga 7 Jun ini.

Menurut kenyataan tersebut, keputusan berkenaan dibuat setelah mengambil kira trend semasa kes harian COVID-19 yang menunjukkan peningkatan.

Sehubungan itu, beberapa tindakan drastik terpaksa diambil bagi mengelakkan negara yang ketika ini sedang berdepan dengan gelombang ketiga COVID-19 daripada terjerumus dalam krisis nasional.

Antara yang diputuskan kerajaan adalah semua aktiviti berbentuk perhimpunan sosial termasuk kenduri-kenduri, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis doa selamat dan tahlil, majlis makan malam, majlis sambutan hari jadi serta majlis-majlis rasmi kerajaan dan swasta adalah DILARANG.

Selain itu, sebarang bentuk seminar, persidangan dan mesyuarat secara bersemuka juga adalah tidak dibenarkan.

Bagaimanapun majlis akad nikah adalah dibenarkan dengan jumlah kehadiran dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditentukan pihak berkuasa agama Islam negeri bagi orang Islam dan Jabatan Pendaftaran Negara bagi orang bukan Islam.

Sumber: MKN