Kerajaan memutuskan supaya sempadan negara dibuka pada 1 April ini, umum Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Jelas Ismail, keputusan membuka sempadan negara tersebut dibuat berpandukan tiga perkara.
Pertama, pembukaan sempadan negara itu dibuat berpandukan kepada sains dan fakta terkini berkaitan COVID-19.
Kedua, keputusan tersebut juga mengambil kira keperluan pembukaan sempadan di negara-negara lain.
Ketiga, ia memberi keselesaan kepada pengembara dan tidak merumitkan perjalanan mereka.
Ismail berkata demikian menerusi satu sidang media sebentar tadi.
BACA JUGA: Pembukaan Sempadan Negara Dijangka Awal Suku Tahun Kedua
“Dengan pembukaan semula sempadan negara ini, rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan sah kini boleh keluar masuk seperti biasa dan dibenarkan ke mana-mana negara yang juga membuka pintu sempadannya kepada pengembara luar,” katanya.
Dalam masa sama, rakyat luar negara yang turut mempunyai dokumen perjalanan sah juga boleh melakukan pergerakan keluar masuk ke Malaysia.
Mereka tidak perlu lagi memohon MyTravel Pass yang akan dimansuhkan, sebaliknya hanya memuat turun aplikasi MySejahtera.
Mengimbas kembali, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pernah mengumumkan bahawa sempadan negara bakal dibuka pada awal suku tahun ini
Jelas Khairy, tempoh tersebut merupakan garis masa realistik yang ditentukan kerajaan.
Ketika itu Ismail memberi masa dua minggu kepadanya beserta Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menyediakan garis panduan pembukaan sempadan.
Difahamkan, garis panduan berkenaan perlu dibentangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pandemik COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, serta Jawatankuasa Kuartet Menteri COVID-19 sebelum dibawa ke Jemaah Menteri.
Sumber: Sidang Media Perdana Menteri