Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September 2021.
Keputusan itu telah dibuat setelah mengambil kira peningkatan kadar vaksinasi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan di sekolah.
“Sehingga 16 Julai 2021, seramai 253,366 orang guru dan pentadbir (61.30%) serta 10,876 orang kakitangan sokongan (46.3%) telah menerima sekurang-kurangnya 1 dos vaksin,” kata KPM dalam satu kenyataan.
Walau bagaimanapun, KPM juga berkata bahawa pihak mereka akan terus mengambil kira penilaian risiko oleh KKM dan MKN bagi melihat sekiranya terdapat keperluan untuk membuat perubahan terhadap tarikh tersebut.
Sebarang perubahan akan dimaklumkan lebih awal dan perincian lanjut mengenai pembukaan sekolah bagi sesi PdP secara bersemuka akan dimaklumkan selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka.
Sementara itu, sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan sehingga 31 Ogos 2021.
Ketetapan tersebut terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan intitusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.
Sumber: KPM