
Presiden Rusia, Vladimir Putin didakwa melancarkan ujian nuklear peluru berpandu balistik dan peluru berpandu jelajah dalam keadaan tegang di sempadan Ukraine, lapor BNO News.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov dalam kenyataan hari ini mengatakan bahawa semua pihak tidak patut bimbang akan ujian yang dijalankan hari ini.
Menurut DailyMail, Rusia melakukan ujian strategik secara besar-besaran pada setiap tahun. Namun kali ini ujian berkenaan turut melibatkan armada Laut Hitam Rusia yang berpengkalan di Semenanjung Crimea.
Rusia turut menerbangkan sebuah pesawat tempur MIG-31K dan jet pengebom Tu-22M3 di ruang udara Mediterranean di tengah ketegangan di kawasan sempadan.
Pada masa yang sama, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Lloyd Austin berkata pasukan tentera di sempadan kini berada dalam keadaan ‘sedia untuk menyerang’.
“Mereka kini sedang bersedia untuk menyerang. Mereka sedang bergerak ke posisi yang sesuai untuk melancarkan serangan,” katanya memetik laporan DailyMail.
Semalam, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden yakin bahawa pasukan tentera Rusia telah merancang untuk memasuki Ukraine setelah hampir 200,000 tentera digerakkan ke sempadan.
“Pada ketika ini, saya yakin beliau (Putin) telah membuat keputusan. Kami ada sebab untuk mempercayainya,” ujar Biden memetik laporan DailyMail.
Beberapa minggu kebelakangan ini, Biden mengatakan bahawa Amerika Syarikat sendiri tidak pasti bahawa sama ada Putin telah membuat keputusan untuk menyerang Ukraine.
Namun pandangan beliau kini berubah. Biden menyatakan bahawa beliau ada sebab tersendiri untuk mempercayai bahawa serangan akan dilancarkan beberapa hari lagi, termasuk di ibu kota Kyiv.