PUTRAJAYA, 6 Nov – Kerajaan akan membekukan pengeluaran lesen import bagi rokok baharu mulai 1 Januari 2021, umum Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Jelasnya, ia adalah antara enam langkah-langkah yang akan dijalankan kerajaan, selain turut memperketatkan pembaharuan lesen import rokok melalui semakan semula syarat lesen termasuk mengenakan kouta import.
“(Seterusnya) menghadkan aktiviti transhipment rokok kepada pelabuhan tertentu sahaja.
“Keempat, mengenakan cukai dengan kemudahan pulang balik (throwback) ke atas semua rokok import bagi tujuan transhipment dan eksport semula,” katanya dalam sidang pembentangan Belanjawan 2021 hari ini.
Selain itu, aktiviti transhipment dan eksport semula rokok menggunakan bot kumpit juga adalah tidak dibenarkan.
Dalam masa sama, cukai ke atas rokok dan produk tembakau di semua pulau bebas cukai akan turut dikenakan kelak.
“Kerajaan juga akan mengenakan duti eksais pada kadar Ad Valorem 10 peratus ke atas semua jenis peranti rokok elektronik dan bukan elektronik, termasuk vape berkuatkuasa 1 Januari 2021.
“Manakala cecair rokok elektronik akan dikenakan duti eksais pada kadar 40 sen per mililiter,” tambahnya lagi.
Sumber: RTM