Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersetuju memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana bagi produk vaksin COVID-19 baharu, iaitu COVAXIN.
Menurut ketua pengarahnya, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah, pemegang pendaftaran vaksin tersebut ialah Averroes Pharmaceuticals Sdn. Bhd. dan ia dikilangkan oleh Bharat Biotech International Limited, India.
“COVAXIN digunakan untuk imunisasi aktif bagi mencegah COVID-19 yang disebabkan oleh virus SARS-CoV-2 di kalangan individu berumur 18 tahun dan ke atas.
“Kelulusan pendaftaran bersyarat ini masih memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau serta dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.
“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit–risk balance) bagi vaksin tersebut kekal positif,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Justeru tambahnya, KKM akan terus komited mempertingkatkan akses rakyat kepada vaksin bagi tujuan pencegahan penularan COVID-19 di negara ini.
Ia adalah dengan memastikan produk vaksin tersebut dinilai berdasarkan aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan dengan sewajarnya.
Sumber: KKM