Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia akan melancarkan laman web baharu iaitu Covid Now yang boleh dilayari oleh orang ramai bermula jam 6 petang hari ini.
Menurutnya, semua pihak perlu bersedia untuk menerima COVID-19 sebagai endemik dan disebabkan itu, penyediaan data dan maklumat berkaitan COVID-19 memerlukan pembaharuan.
“Saya bersama pengurusan tertinggi KKM telah bersetuju untuk kita memastikan data dan maklumat berhubung COVID-19 di dalam negara dapat diakses oleh semua pihak.
“Oleh yang demikian bermula hari ini, seiring dengan hasrat saya untuk lebih telus dalam perkongsian maklumat, KKM akan melancarkan laman web baharu iaitu Covid Now dan anda boleh mula layarinya bermula jam 6 petang ini di https://covidnow.moh.gov.my.
“Data harian terkini akan tersedia di Covid Now selepas jam 12 setiap malam,” katanya.
Antara data yang ditambah menerusi pelaporan jenis baharu ini adalah mengenai perincian kes baharu beserta status vaksinasi dan jenis vaksin, perincian kes kematian beserta status vaksinasi dan jenis vaksin, kapasiti katil, alat bantuan pernafasan dan ICU mengikut jenis hospital (awam dan swasta) di setiap negeri dan data kesan buruk (AEFI) mengikut jenis vaksin.
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia