
Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Zon Nilai, Negeri Sembilan selama dua minggu bermula 28 Oktober ini sehingga 10 November 2020.
Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu sidang media sebentar tadi.
”Selepas mendapat nasihat daripada KKM dan mengambil kira peningkatan kes Covid-19 di lokaliti ini, sidang khas MKN hari ini bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di zon Nilai, Negeri Sembilan yang berkuatkuasa 28 Oktober 2020 sehingga 10 November 2020,” kata beliau.
Jelas Ismail, prosedur operasi standard (SOP) di dalam PKPB bagi Zon Nilai juga adalah masih sama seperti yang diumumkan sebelum ini.
”SOP bagi PKPB adalah sama seperti PKPB yang diumumkan sebelum ini, secara ringkas antaranya semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi, aktiviti sosial tidak dibenarkan, aktiviti sukan dibenarkan seperti yang tertakluk dan terkandung di dalam SOP sukan di bawah PKPB dan bolehlah merujuk kepada website Kementerian Belia dan Sukan.
”Aktiviti di masjid dan surau tidak dibenarkan kecuali laungan azan dan solat lima waktu kita benarkan tetapi tertakluk kepada SOP dan jumlah yang ditentukan oleh pihak berkuasa agama negeri,” kata beliau.
Sumber: Sidang media perkembangan terkini PKPP