Menerusi siaran langsung daripada Balaicerap Planetarium Negara menyaksikan visual Gerhana Bulan atau ‘Super Flower Blood Moon’ yang menarik berlaku sebentar tadi. Kejadian ini berlaku sekitar jam 7.16 petang hari ini di Lahad Datu, Sabah.
Bagi yang beragama Islam, dinasihatkan bersama-sama untuk menunaikan solat sunat Gerhana selepas menunaikan solat fardhu Maghrib hari ini.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Pencerapan Planet Planetarium Negara Mohd Zamri Shah Mastor berkata kali terakhir kejadian bulan purnama seperti itu berlaku ialah kira-kira 18 tahun lepas iaitu pada 2003.
Beliau berkata gerhana bulan itu dipanggil ‘Super Flower Blood Moon’ bersempena tiga fenomena yang berlaku dalam satu masa yang menyaksikan ‘Super Moon’ kerana bulan kelihatan lebih besar sedikit iaitu kira-kira tujuh peratus berbanding saiz bulan purnama lain kerana berada pada kedudukan paling hampir dengan bumi.
Katanya fenomena kedua ialah ‘Flower Moon’ kerana berlaku pada musim bunga dan ‘Blood Moon’ pula kerana warna bulan bertukar kemerah-merahan seolah-olah bulan berdarah.
“Fenomena gerhana bulan penuh ini menyebabkan bulan kelihatan berwarna kemerahan selama kira-kira 15 minit pada fasa gerhana penuh… ‘Blood Moon’ hanya berlaku pada 7.11 malam hingga 7.26 malam.
“Bagaimanapun, ‘Super Moon’ dan ‘Flower Moon’ pula dapat dilihat sepanjang malam sehingga Subuh,” katanya ketika siaran langsung itu.
Sementara itu, pencerapan gerhana bulan secara langsung menyaksikan ‘pembentukan’ fenomena yang berlaku bermula 4.47 petang hingga 9.49 malam itu dibuat di Tanjung Labian, Lahad Datu, Sabah dan Balai Cerap Planetarium Negara.





Sumber: Planetarium Negara