Kredit gambar: Google

TERKINI COVID-19: 1,220 Kes Baharu, Selangor Catat Kes Tertinggi Dengan 368 Kes

Nur Adnin

PUTRAJAYA, 17 Dis – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat pertambahan 1,220 kes baharu COVID-19 hari ini.

Angka tersebut menjadikan jumlah kumulatif terkini turut meningkat kepada 89,133 kes, selain 14,671 kes aktif dengan kebolehjangkitan turut dilaporkan.

Ketua pengarahnya, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, hanya enam kes import dilaporkan, manakala selebihnya penularan tempatan.

Menurutnya, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 368 kes (30.2 peratus), sebanyak 247 kes (67.1 peratus) adalah dari kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang giat dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang melaporkan sebanyak 297 kes (24.3 peratus) dan negeri Sabah sebanyak 184 kes (15.1 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, sebanyak 1,297 kes sembuh dilaporkan hari ini menjadikan kes sembuh keseluruhan bertambah kepada 74,030 kes.

Maklumat lanjut menyusul.

Sumber: KKM