Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz ‘mempelawa’ rakyat untuk berkongsi idea bagi penyediaan Bajet 2022.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi, beliau mengatakan bahawa Kementerian Kewangan telah menerbitkan Kertas Konsultasi Awam (KKA) sebagai pelengkap kepada Kenyataan Pra-Bajet 2022 yang diterbitkan pada 31 Ogos 2021.
Menurutnya, empat kertas konsultasi awam akan diterbitkan untuk mendapatkan input kepada Bajet 2022. Antaranya adalah penambahbaikan Dasar Perolehan Kerajaan Berkaitan Barangan atau Perkhidmatan Tempatan dan Bumiputera, penambahbaikan Program Bantuan Tunai, kajian insentif cukai dan Penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal atau Fiscal Responsibility Act (FRA).
Penerbitan KKA buat kali pertama ini diyakini akan menyediakan lebih banyak peluang kepada semua pihak berkepentingan untuk memberi maklum balas masing-masing ke arah perangkaan sebuah bajet yang memenuhi keperluan rakyat serta selaras dengan dasar dan objektif negara.
Orang ramai yang mempunyai soalan dan keperluan lanjut boleh kemukakan kepada [email protected].
KKA pula boleh dimuat turun dan maklum balas boleh dikemukakan melalui laman web MOF selewat-lewatnya pada 5.00 petang, 15 September 2021.
Sumber: Bernama TV