Datuk Seri Mohamad Azmin Ali dilantik menjadi Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari ini.
Ismail berkata, jawatan Timbalan Menteri MITI pula akan dipegang oleh Datuk Lim Ban Hong yang akan bergandingan bersama Azmin untuk menerajui kementerian ini.
Dalam masa sama, tiada jawatan bagi Timbalan Perdana Menteri yang dinamakan kali ini, sebaliknya Perdana Menteri didukung oleh empat menteri kanan.
Selain Azmin, turut dilantik ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Haji Fadillah Yusof dan Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin masing-masing menyandang jawatan Menteri Kanan (Kerja Raya) dan Menteri Kanan (Pendidikan).
Pada Khamis, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang.
Menerusi sesi menghadap yang berlangsung selama satu jam 30 minit itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima persembahan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu dari Ismail Sabri susulan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-9 pada 21 Ogos 2021 lalu.
Sumber: Siaran Langsung Pengumuman Kabinet oleh PM