Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai 2021 bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyurkan oleh Baginda sepanjang tempoh darurat.
BACA: Susulan Titah YDPA, Mesyuarat Khas Dewan Rakyat Ditangguh 15 Minit
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan rasmi Istana Negara berkata, pembatalan semua Ordinan Darurat tersebut sepanjang tempoh darurat belum lagi mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.
”Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenankan dan dipersetujui terdahulu dengan Yang Berhormat Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Yang Berbahagia Tan Sri Idrus bin Harun, Peguam Negara semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai 2021 bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan,” katanya menerusi kenyataan Istana Negara.
BACA: Kenyataan Penuh Istana Negara Berhubung Titah YDPA Mengenai Ordinan Darurat
Jelas beliau lagi, Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen pada 26 Julai lalu adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
“Seri Paduka Baginda menegaskan dalam pemerintahan Raja Berpelembagaan dan sistem Demokrasi Berparlimen bertunjangkan prinsip keluhuran perlembagaan, semua pihak perlu mematuhi kedaulatan undang-undang.
“Perkara 150(2B) dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak pada Seri Paduka Baginda,” katanya.
Berita lanjut menyusul
Sumber: Istana Negara