
Sebanyak 82 kes positif jangkitan baharu Covid-19 dilaporkan di negara ini sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan 10,769 kes setakat Sabtu (26 September 2020), jam 12 tengahari.
Menurut perkongsian terkini Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, oleh itu jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 telah menjadi 851 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan di hospital.
Daripada 82 kes baharu dilaporkan, 79 kes adalah kes tempatan melibatkan 53 warganegara Malaysia dan 26 lagi bukan merupakan warganegara.
Manakala, baki tiga (2) kes merupakan kes import melibatkan dua (2) warganegara dan satu (1) bukan warganegara Malaysia.
Selain itu, terdapat lapan (8) kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana empat (4) kes memerlukan alat bantuan pernafasan.
Pesakit yang sembuh juga telah meningkat sebanyak 89 orang pada hari ini sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan pesakit Covid-19 yang sembuh adalah seramai 9,785 atau 90.86 peratus daripada jumlah kes.
Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan di negara ini di mana jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 133 kes atau 1.24 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Sumber: Twitter @DGHisham