Sebanyak 69 kes positif jangkitan baharu Covid-19 dilaporkan di negara ini sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan 6,071 kes setakat Jumaat (1 Mei 2020), jam 12 tengahari.
Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1, 758 kes, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu sidang Media sebentar tadi.
Daripada 69 kes baharu, 12 kes merupakan kes import dan selebihnya adalah kes jangkitan tempatan.
Sehingga kini, seramai 37 kes positif jangkitan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 14 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Manakala dukacita dimaklumkan, terdapat pertambahan satu kes kematian berkaitan covid-19 turut direkodkan dalam tempoh 24 jam sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan 103 kes.
Mangsa daripada kes ke-5441 merupakan lelaki berumur 66 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit barah dan mempunyai kontak rapat dengan kes ke-4818.
Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 14 April 2020 sebelum disahkan meninggal dunia pada 30 April 2020, jam 4 petang.

Sumber: Sidang Media KKM