Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa terdapat sebanyak 7 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih dan discaj adalah sebanyak 8, 978 bersamaan 96.6%.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan di Facebook rasmi, beliau juga memaklumkan bahawa terdapat sebanyak 6 kes baharu Covid-19 dicatatkan pada hari ini termasuk 1 kes import dan 5 kes tempatan. Jumlah kumulatif kes pula adalah sebanyak 9,291 kes dengan 188 kes aktif.
Daripada 5 kes tempatan, dimaklumkan bahawa terdapat 3 kes daripada kluster Tawar di Kedah. Menurut maklumat daripada KKM, langkah intervensi telah diambil bagi mengekang COVID-19 dalam kluster ini. Antaranya ialah penutupan sekolah dan premis bagi menjalankan aktiviti nyah kuman dan nyah cemar.
Kes import yang dilaporkan pada hari ini pula adalah di negeri Selangor yang melibatkan satu kes bukan warganegara Malaysia dari Singapura.
Tambahnya lagi, tiada kes kematian yang dicatatkan hari ini dan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal sebanyak 125 kes bersamaan 1.35%.
Sumber: Noor Hisham Abdullah