Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 52 kes positif Covid-19 telah dicatat pada hari ini.
Menurut satu ciapan yang dibuat oleh akaun rasmi Twitter KKM, daripada 52 kes baharu itu, sebanyak 40 kes merupakan kes tempatan manakala 12 lagi adalah kes import.
52 kes baharu yang dicatatkan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 10,219. Jumlah kes aktif yang dilaporkan pula adalah sebanyak 734 kes.
Dalam pada itu juga, KKM turut memaklumkan bahawa Sabah mencatatkan kes positif tertinggi pada hari ini dengan 36 kes termasuk 27 daripada Kluster Benteng LD.
Selain daripada itu, jumlah kes discaj yang telah pulih sepenuhnya pada hari ini adalah sebanyak 40 kes. Keseluruhan jumlah kumulatif bagi kes discaj turut meningkat kepada 9,355 kes.
KKM juga turut melaporkan seramai 10 kes sedang dirawat di ICU. Daripada jumlah itu, sebanyak 2 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.
KKM juga memaklumkan bahawa tiada kematian baharu yang dicatatkan pada hari ini.
Justeru, kes kematian yang berkaitan dengan Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 130 kes atau bersamaan dengan 1.27% secara keseluruhannya.
Sumber: KKM