Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat empat kluster baharu yang dikesan pada hari ini.
Menurut kenyataan di akaun Twitter rasmi KKM, kluster baharu yang dikenalpasti itu adalah Kluster Bah Ketil iaitu di Langkawi, Kluster Joo Hwa di Tawau, Sabah, Kluster Selasih di Putrajaya dan Kluster Jalan Meru di Klang.
Menerusi maklumat berkenaan kluster yang dikongsikan itu, Kluster Bah Ketil telah mencatatkan sebanyak 3 kes positif, Kluster Joo Hwa pula mencatatkan 1 kes positif, Kluster Selasih 5 kes positif manakala Kluster Jalan Meru mencatatkan sebanyak 3 kes positif.
Kluster Jalan meru
Kluster Jalan Meru ini telah dikenalpasti di Klang, Selangor. Kes indeks kluster ini iaitu kes ke 11,148 adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 30 tahun.
Kes mula bergejala pada 24 September 2020. Hasil saringan yang dilakukan, dia telah didapati positif pada 29 September 2020. Kes telah dimasukkan ke hospital Sungai Buloh.
Saringan kontak rapat telah dijalankan, dan tiga kes positif lagi telah dikenalpasti. Semua kes positif adalah merupakan warganegara Malaysia. Mereka telah dimasukkan ke hospital Sungai Buloh untuk pengasingan dan rawatan.
Kluster Joo Hwa
Kluster Joo Hwa ini telah dikenalpasti di Tawau, Sabah. Kes indeks iaitu kes 10,273 adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 31 tahun.
Kes mula bergejala demam dan batuk sejak 14 September 2020. Hasil saringan yang dilakukan, dia telah didapati positif pada 20 September 2020.
Saringan kontak rapat yang dijalankan berjaya mengesan 4 lagi kes positif Covid-19 bagi kluster Joo Hwa telah dikesan. Semua kes positif ini melibatkan warganegara. Mereka telah dimasukkan ke hospital Tawau untuk rawatan lanjut.
Kluster Selasih
Kluster Selasih ini telah dikenalpasti di W.P Putrajaya. Kes indeks bagi kluster ini adalah seorang lelaki warga tempatan yang berumur 37 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Kota Kinabalu, Melangkap dan Kundasang.
Kes mula bergejala demam dan batuk sejak 25 September 2020. Kes tiba di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) pada 20 September 2020. Saringan yang dilakukan telah mendapati bahawa kes positif pada 28 September 2020.
Saringan kontak rapat yang dijalankan berjara mengesan 6 lagi kes positif Covid-19. 6 kes positif ini merupakan warganegara Malaysia. Mereka telah dimasukkan ke hospital Sungai Buloh.
Punca jangkitan masih dalam siasatan.
Kluster Bah Ketil
Kluster ini telah dikenalpasti di daerah Baling dan Langkawi, Kedah. Kes indeks bagi kluster ini adalah merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 39 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Tawau, Sabah pada 17 hingga 21 September 2020.
Kes bergejala batuk dan sakit otot bermula pada 24 September 2020 dan mendapat rawatan di sebuah pusat perubatan di Sungai Petani, Kedah.
Saringan yang dilakukan mendapati kes positif pada 28 September 2020. Susulan itu, saringan kontak rapat yang dilakukan berjaya mengesan 8 lagi kes positif Covid-19 telah dikenalpasti. Tiga kes positif ini melibatkan warganegara Malaysia. Mereka telah dimasukkan ke hospital Sultanah Bahiyah dan hospital Langkawi, Kedah untuk rawatan.
Punca jangkitan masih dalam siasatan.
Sumber: KKM