Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa pada hari ini bilangan kes sembuh Covid-19 adalah sebanyak 1,750 kes. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah 64,056 kes (85.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
Pada hari ini, 8 Disember 2020, negara telah merekodkan kes harian baharu sebanyak 1,012 kes. Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 75,306 kes.
Justeru itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 10,862 kes. Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat 7 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah 1,005 kes.
Sehingga kini, terdapat 126 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 62 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan 4 kes kematian Covid-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 388 kes (0.52 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
Menerusi laman Twitter rasmi KKM memaklumkan bahawa kes baharu tertinggi adalah di Selangor dengan mencatat 417 kes positif dan dua kluster telah dikesan di negeri tersebut.
Dua kluster baharu tersebut adalah Kluster Seruling (melibatkan daerah Klang, Hulu Selangor dan Petaling) dan Kluster Tapak Bina Darul (melibatkan daerah Titiwangsa, Cheras dan Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; daerah Petaling, Sepang, Kuala Langat dan Klang di negeri Selangor; serta daerah Seremban di Negeri Sembilan).
Pecahan kes baharu mengikut negeri.

Sumber: KKM