Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy memaklumkan sebanyak 137 rakyatnya telah terkorban manakala lebih 300 orang cedera selepas Russia melancarkan serangan berskala penuh ke atas negara itu melalui udara, laut dan darat.
Menurut beliau, jumlah kematian tersebut merangkami bilangan tentera dan orang awam hanya dalam hari pertama pencerobohan Russia ke atas negara mereka.
”Mereka membunuh orang dan menjadikan bandar aman sebagai sasaran tentera. Ia ‘kotor’ dan tidak akan pernah dimaafkan,” kata Zelenskyy yang merujuk kepada tentera Rusia, lapor Al-Jazeera.
Pada Khamis, beberapa siri letupan besar dan tembakan dilaporkan berlaku berhampiran wilayah Kharkiv, Ukraine sejurus Presiden Rusia, Vladimir Putin mengisytiharkan perang di antara dua negara itu bermula.
Tentera Russia dilaporkan telah melakukan serangan besar-besaran ke atas Ukraine dengan melepaskan peluru berpandu ke beberapa bandar utama dan pangkalan tentera sekaligus menyebabkan kemusnahan yang teruk.
Sementara itu, Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan kira-kira 100,000 rakyat Ukraine telah meninggalkan negara mereka.
Sumber: Independent.uk, aljazeera