Gambar: Bernama

TERKINI: 1,075 Kes Baharu COVID-19, 948 Telah Sembuh Dan 4 Kluster Baharu Dilaporkan Hari Ini

Aqmal Ezany

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 1,075 kes baharu covid-19 yang dilaporkan pada hari ini.

Menerusi maklumat yang dikongsikan melalui akaun Twitter rasmi KKM, 1,075 kes baharu yang dilaporkan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan meningkat kepada 69,095 kes secara keseluruhan.

Daripada 1,075 kes baharu yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 1,072 merupakan kes tempatan manakala 3 lagi adalah kes import.

Jumlah kes aktif yang dilaporkan pula adalah sebanyak 10,802 kes. Mereka telah diasingkan dan diberikan rawatan.

Terdapat 116 kes yang sedang dirawat di ICU dan daripada itu, 46 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Jumlah kes discaj yang dilaporkan pada hari ini pula adalah sebanyak 948. Oleh itu, jumlah kumulatif kes discaj meningkat kepada 57,917 kes.

KKM juga turut memaklumkan bahawa terdapat 11 kes kematian yang dicatatkan pada hari ini. Jumlah kumulatif kes kematian pula meningkat kepada 376 kes atau bersamaan dengan 0.54% secara keseluruhannya.

Tambahan lagi, KKM turut berjaya mengenal pasti 4 kluster baharu pada hari ini antaranya ialah Kluster Monsoon, Kluster Jalan Kilang, Kluster Perdana Enam dan Kluster Jalan Kubota.

Berikut adalah perincian keempat-empat kluster baharu yang dikenal pasti pada hari ini:

  • KLUSTER MONSOON

Kluster ini melibatkan daerah Petaling di negeri Selangor. Kes indeks (iaitu kes ke-63687) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 29 November 2020 hasil saringan individu bergejala. Sehingga 3 Disember 2020, sejumlah 106 individu telah disaring, di mana 19 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  • KLUSTER JALAN KILANG

Kluster ini melibatkan daerah Lahad Datu di negeri Sabah. Kes-kes awal dalam kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 bermula 15 November 2020 hasil saringan tempat kerja di sebuah kilang. Sehingga 3 Disember 2020, sejumlah 104 individu telah disaring, di mana 24 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  • KLUSTER PERDANA ENAM

Kluster ini melibatkan daerah Lahad Datu di negeri Sabah. Kes indeks (iaitu kes ke-53954) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 22 November 2020 hasil saringan individu bergejala. Sehingga 3 Disember 2020, sejumlah 213 individu telah disaring, di mana 25 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  • KLUSTER JALAN KUBOTA

Kluster ini melibatkan daerah Tawau di negeri Sabah. Kes indeks (iaitu kes ke-59101) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 25 November 2020 hasil saringan individu bergejala. Sehingga 3 Disember 2020, sejumlah 72 individu telah disaring, di mana 14 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia