jatuh dari langit
Gambar Via Telegraph/Yahoo News

Terkesan Dengan Gelombang Haba, Puluhan Burung Dilapor Jatuh Dari Langit Akibat Dehidrasi

Sofea

India – Puluhan burung dilaporkan telah jatuh dari langit pada setiap hari di negeri Gujerat disebabkan dehidrasi.

Memetik laporan Sky News, ia adalah kesan daripada gelombang panas terik yang berlaku di negara itu sehingga mengeringkan sumber air.

Sebagai tindak balas, doktor veterinar dan penyelamat haiwan telah memberi makan tablet multi-vitamin dan menyuntik air ke dalam mulut burung-burung tersebut menggunakan picagari.

Difahamkan, ribuan burung telah dirawat sejak beberapa minggu lalu antaranya ialah burung merpati dan burung layang-layang di sebuah hospital haiwan di bandar Ahmedabad.

“Tahun ini adalah antara yang paling teruk, kami telah melihat peningkatan 10 peratus dalam bilangan burung yang perlu diselamatkan,” kata penyelamat yang bekerja rapat dengan Jivdaya Charitable Trust, Manoj Bhavsar.

Sementara itu, pegawai kesihatan di Gujerat telah menasihatkan hospital supaya menyediakan wad khas untuk strok haba dan keadaan berkaitan haba lain akibat peningkatan suhu.

India menghadapi Mac paling panas dalam tempoh lebih 100 tahun dan berlanjutan sehingga April iaitu termasuk di New Delhi, yang merekodkan suhu luar biasa tinggi melebihi 40 Celcius.

Malah, belasan orang dilaporkan telah meninggal dunia disyaki akibat strok haba.

Bukan sahaja di India, sebahagian besar Asia Selatan juga turut mengalami cuaca panas melampau dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Para saintis telah mengaitkan permulaan awal musim panas yang teruk itu dengan perubahan iklim.

Sumber: Sky News