Gambar Hiasan via Google

Terima Laporan Sebahagiannya Telah Tercemar, Jepun Henti Guna 1.63 Juta Dos Vaksin Moderna

Eyla Azri

Jepun akan menghentikan penggunaan 1.63 juta dos vaksin Covid-19 Moderna selepas beberapa laporan diterima mengatakan sebahagian vaksin tersebut telah tercemar.

Syarikat Takeda, iaitu pengedar vaksin Moderna di Jepun memaklumkan, mereka menerima aduan mengenai kehadiran benda asing dalam botol vaksin belum dibuka.

Aduan tersebut dibuat oleh beberapa pusat pemberian vaksin di negara matahari terbit itu.

“Setelah berbincang dengan kementerian kesihatan, kami membuat keputusan untuk menghentikan penggunaan vaksin tersebut,” kata jurucakap Takeda.

“Setakat ini kami belum terima laporan berkait masalah kesihatan dari penggunaan vaksin tercemar itu,” ujarnya, memetik laporan AFP.

Benda asing tersebut didapati dalam satu daripada tiga kumpulan vaksin Moderna yang diedarkan. Menurut jurucakap kerajaan Jepun, Katsunobu Kato, mereka menghentikan dua lagi kumpulan vaksin tersebut untuk langkah keselamatan.

Pun begitu, syarikat pengeluar ubat-ubatan Takeda enggan mengulas lanjut tentang penyiasatan vaksin Moderna yang tercemar ini. Namun mereka tetap menggalakkan orang ramai supaya mengambil suntikan vaksin COVID-19.

Dilaporkan 43 peratus masyarakat Jepun telah lengkap vaksinasi, sementara virus COVID-19 di negara itu masih tersebar ekoran kewujudan varian Delta. Jepun mencatatkan 15.5 ribu kematian akibat penularan virus COVID-19 di negara itu.

Sumber: AFP