Terengganu Lancar Portal Jodoh
Gambar: Bernama

Terengganu Lancar Portal Jodoh Darul Iman

Iqbal Yasir

Terengganu Lancar Portal Jodoh Darul Iman

KUALA TERENGGANU, 6 Ogos (Bernama) — Kerajaan Terengganu hari ini melancarkan Portal Jodoh Darul Iman (PJDI), sebuah platform dalam talian yang membantu mempercepatkan proses mencari jodoh dalam kalangan penduduk di negeri berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Maliaman Kassim berkata PJDI adalah satu daripada inisiatif kerajaan negeri bagi meningkatkan kadar perkahwinan dan seterusnya meningkatkan kadar kelahiran dan melambatkan proses Terengganu menjadi negeri tua.

“Jadi, dengan adanya portal ini ia menggalakkan orang-orang muda kita berkahwin secara sah dan bila orang-orang muda kahwin serta dapat anak, ia membantu melambatkan proses penuaan sesebuah negeri dan negara.

“Untuk fasa yang masih baharu ini, kita sasarkan 500 penyertaan bagi tahun ini. Ia hanya terbuka kepada individu yang belum berkahwin dan ibu serta bapa tunggal yang berhasrat mencari jodoh,” katanya selepas pelancaran PJDI, yang disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Maliaman berkata buat masa ini portal yang boleh diakses mulai hari ini hanya terbuka kepada rakyat Terengganu yang beragama Islam dan pihaknya akan menambah baik termasuk kekemasan paparan portal dan kriteria calon dari semasa ke semasa.

Bagi mengelakkan penipuan atau salah guna portal itu, beliau berkata pelbagai syarat dan butiran identiti termasuk nombor kad pengenalan perlu diberikan oleh individu yang ingin mencari jodoh.

“Maknanya kalau dia (peserta) tipu identiti kita akan dapat kesan dan terus keluarkan dia daripada penyertaan. Proses itu dikendalikan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga dan kita akan semak untuk pastikan data peribadi yang diberikan adalah betul,” katanya.

Maliaman berkata dalam portal itu peserta akan menyatakan kriteria suami atau isteri yang dikehendaki dan mereka juga memberikan kriteria yang ada pada diri sendiri, sebelum pihak urusetia portal memadankan calon isteri atau suami yang sesuai antara satu sama lain.

Beliau berkata pertemuan pertama antara pasangan akan disertai oleh urusetia termasuk kaunselor perkahwinan, sebelum urusan seterusnya seperti peminangan dan pernikahan diuruskan oleh pihak keluarga.

Sumber: BERNAMA