
Terdampar Dekat Kampung, Penduduk Lapah & Makan Bangkai Paus Sepanjang 24 Meter
Seekor ikan paus sepanjang 24 meter dan lebar 3.5 meter ditemukan terdampar dan mati di pantai Desa Bagang, Nusa Tenggara Timur (NTT).
Bangkai yang seberat berpuluh tan itu kemudiannya dipotong dan diambil oleh penduduk setempat untuk dijadikan bahan makanan.
Ketua Pejabat Laut dan Perikanan Wilayah NTT, Muhammad Saleh Goro berkata, bangkai paus itu ditemukan pada 22 Ogos lalu kira-kira pukul 8 pagi waktu tempatan oleh penduduk setempat.
Saleh berkata, paus yang mati itu jenis Paus Biru atau Blue Whale (Balaenoptera musculus). Saat penemuan bangkai paus, warga telah melaporkan penemuan tersebut kepada Ketua Kampung Desa Bagang.
Pihak berkuasa dimaklumkan mengenai penemuan itu dan bergegas ke lokasi kejadian bagi membuat pemeriksaan.
“Namun, sebaik sahaja tiba di lokasi tersebut, orang ramai berpusu-pusu memotong daging bangkai ikan itu dengan alasan untuk dijadikan bahan makanan,” katanya seperti yang dilaporkan Kompas.com.
Sehubungan itu, pihaknya terpaksa mengeluarkan satu arahan yang meminta orang ramai tidak mengulangi perkara yang sama sekiranya menemui bangkai ikan paus, kerana dibimbangi ia boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan pemakan.
“Jangan sentuh mana-mana bangkai haiwan yang ditemukan mati, termasuk ikan paus kerana dikhuatiri mengandungi bakteria berbahaya.
“Bangkai haiwan juga seharusnya tidak dimakan kerana bakteria yang terdapat padanya boleh menyebabkan keracunan,” tegasnya.
BACA: Bisa Bernilai, Peladang Ini Ternak Kala Jengking, Jual Bisa Harga Cecah RM 45 Juta Seliter
Sumber: Kompas.com Utusan Malaysia