Thailand Kemboja Bertempur
Gambar: AFP

Tentera Thailand, Kemboja Bertempur Di Sempadan

Hannah

Tentera Thailand, Kemboja Bertempur Di Sempadan

BANGKOK, 24 Julai (Bernama) — Insiden pertempuran terbaharu antara tentera Thailand dan Kemboja meletus pada awal Khamis di sepanjang sempadan yang dipertikaikan, di tengah-tengah ketegangan yang memuncak susulan tindakan kedua-dua negara menurunkan tahap hubungan diplomatik.

Dalam satu kenyataan ringkas, Tentera Diraja Thailand (RTA) berkata pertempuran itu berlaku berhampiran Kuil Ta Muen Thom, yang terletak di wilayah Surin, timur laut Thailand pada pagi Khamis.

Menurut RTA, konfrontasi itu didakwa berlaku selepas tentera Kemboja melepaskan tembakan di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja.

“Pihak Kemboja dikesan mengerahkan sebuah kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) untuk tujuan tinjauan sebelum menghantar pasukan tentera yang dilengkapi senjata berat untuk menyertai pertempuran,” kata RTA.

Sementara itu, Agency Kampuchea Press melaporkan pertempuran bersenjata berlaku di sepanjang sempadan Kemboja-Thailand di wilayah Oddar Meanchey pada pagi Khamis.

“Pasukan Kemboja bertindak tegas dalam lingkungan mempertahankan diri, sebagai tindak balas kepada pencerobohan tanpa provokasi oleh tentera Thailand yang melanggar integriti wilayah kami,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Leftenan Jeneral Maly Socheata.

Pada Rabu, kerajaan Thailand menurunkan taraf hubungan diplomatik dengan Kemboja sebagai tindak balas serta-merta selepas seorang lagi askarnya cedera akibat letupan periuk api yang didakwa baru ditanam.

Kerajaan Kemboja bertindak balas dengan menurunkan hubungan diplomatiknya dengan Thailand ke tahap paling rendah pada Khamis.

Ketegangan antara kedua-dua negara semakin memuncak sejak 28 Mei, apabila pertempuran maut meletus antara tentera Thailand dan Kemboja di sepanjang kawasan sempadan Preah Vihear yang dipertikaikan. Seorang askar Kemboja terbunuh dalam pertempuran itu.

Dua negara jiran Asia Tenggara itu telah mempertikaikan sempadan sepanjang 817 km yang belum dimuktamadkan selama beberapa dekad. Isu berkenaan terus menjejaskan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

BACA: Pesawat Terhempas Di Sekolah: Guru Wanita Terkorban Selamatkan Murid

Sumber: BERNAMA